Dalam kehidupan seharian kita banyak perkara yang kita lakukan kadang-kadang kala kita sering merungut,marah dan berputus asa mengenainya menandakan kita tidak berpuas hati ataupun kita sebenarnya tidak bersyukur dengan perkara tersebut. Adakah anda sebenarnya seorang yang bersyukur? Mungkin ya dan mungkin tidak. Saya berkata begitu kerana disini saya akan kongsikan dengan anda semua tentang perkara-perkara dalam kehidupan seharian anda yang kadang kala anda sering merungut mengenainya tapi hakikat sebenar anda patut bersyukur dengannya..
Pertama sekali adalah keletihan ataupun kesakitan otot anda selepas seharian bekerja. Anda mungkin merungut kerana kepenatan. Tetapi keletihan ataupun kesakitan itu bermakna yang anda masih berupaya untuk bekerja lagi. Keletihan dan kesakitan itu sebenarnya menunjukkan yang anda telah banyak melakukan kerja-kerja tak kira lah apa jua jenis pekerjaan yang anda lakukan. Itu juga menunjukkan yang anda sebenarnya masih sihat dan berupaya untuk melakukan kerja-kerja itu. Anda patut bersyukur kerana keletihan dan kesakitan itu menunjukkan kesihatan anda masih lagi sihat walafiat.
Seterusnya adalah banyaknya timbunan pakaian anda yang perlu dicuci atau digosok setiap hari. Anda tahu itu bermaksud yang anda masih ada pakaian untuk dipakai. Anda tidak perlu merungut kerana banyaknya timbunan pakaian yang membebankan tetapi anda perlu berfikir kembali akan nasib orang lain yang masih ramai tidak mempunyai pakaian yang mencukupi. Sepatutnya anda bersyukur kerana anda masih mempunyai banyak pakaian untuk dipakai dan mencukupi berbanding ramai lagi orang yang tidak mempunyai pakaian yang mencukupi untuk dipakai.
Setiap hari anda akan mendengar bunyi–bunyi bising dari orang-orang yang sedang bercakap, kenderaan dan banyak lagi. Anda janganlah cepat melenting kerana orang yang suka melenting adalah orang yang tidak pandai mengawal perasaan mereka. Anda perlu berfikir semula dari sudut yang positif kerana setiap bunyi yang anda dengar itu menunjukkan yang pendengaran anda masih lagi baik. Bayangkan jika anda sangat tidak suka mendengar bunyi-bunyi bising itu dan ditakdirkan anda tidak lagi dapat mendengar bunyi itu selama-lamanya. Oleh itu anda sebenarnya patut bersyukur kerana setiap bunyi yang anda pada setiap hari itu walaupun bising tapi itu menunjukkan yang anda masih lagi boleh mendengar dengan baik.
Katakan pada suatu hari anda mencuba sesuatu pakaian tapi pakaian itu tidak lagi muat untuk dipakai. Anda mungkin tidak berpuas hati dan mungkin menganggap yang anda telah gemuk walaupun anda sebenarnya tidak berapa gemuk pun. Tahukah anda pakaian anda yang dah tak muat itu menunjukkan yang anda sebenarnya cukup makan. Anda cuba fikirkan ramai lagi nasib fakir dan miskin di luar sana yang kurus kering kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi. Rezeki anda adalah mencukupi dan anda patut mensyukuri atas nikmat itu dan bukannya hanya merungut panjang kerana telah gemuk.
Anda suka mendengar bunyi jam loceng yang berdering pada waktu pagi? Anda mungkin sering kali marah pada jam loceng itu kerana membuat bising pada waktu pagi dimana anda sedang nyenyaknya tidur tetapi padahal anda sendiri juga yang menguncinya. Pernah atau tidak anda terfikir yang setiap kali mendengar bunyi jam loceng pada waktu pagi itu menunjukkan yang anda masih hidup pada hari itu dan dapat meneruskan kehidupan anda pada hari tersebut.
Anda seharusnya mensyukuri akan nikmat kerana masih diberikan umur yang panjang dan dapat meneruskan tugas anda sebagai hamba di muka bumi ini.
Anda mungkin terlepas pandang akan banyak lagi perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan anda yang anda tidak pernah terfikir akan maksud yang tersirat disebaliknya. Yang saya terangkan diatas hanyalah sebahagian sahaja dari apa yang berlaku dalam kehidupan seharian anda. Seharusnya anda perlu bersyukur akan segala nikmat yang dikecapi dalam kehidupan seharian anda. Jangan cepat marah, cepat melenting, cepat merungut dan cepat berputus asa kerana anda tidak mengetahui akan kebaikan yang tersirat disebalik apa yang berlaku dalam kehidupan anda itu. Semoga kita sama-sama menjadi hamba yang bersyukur kepada Allah akan segala nikmat dan ujian yang diberikan. Dan kita hendaklah sentiasa menjadi hamba-hamba yang sabar dalam menerima ujian itu. Insyaallah.
Cara Pembelian Emas Public Gold
2 years ago
0 comments:
Post a Comment